MOSHAZAT
[ moshazard@hotmail.com | moshazat.blogspot.com ]

Friday, February 19, 2010

Storan Dalam Talian Percuma

Perisian dalam talian atau istilah asalnya 'webware', merupakan satu konsep 'cloud computing' dimana perisian komputer atau 'software' boleh diakses terus daripada dalam talian, tanpa perlu muat turun dan dipasang ke dalam komputer. Jadi ia dapat menjimatkan ruang storan dalam komputer, malah segala bahan dan maklumat yang kita hasilkan dapat diakses di mana-mana saja di dunia yang mempunyai talian internet. Antara jenis aplikasi web yang berguna yang menggunakan konsep 'cloud computing' ini ialah; storan dalam talian (online storage). Terdapat banyak aplikasi sebegini yang diwujudkan di dalam internet, tapi zK ingin memperkenalkan 3 daripadanya yang patut dicuba.
Storan dalam talian yang pertama zK ingin perkenalkan ialah Ubuntu One. Dibina dan dikemaskini oleh pencipta sistem operasi Linux Ubuntu; Canonical Ltd. Pengguna perlu mendaftar akaun Launchpad di laman web Ubuntu One, kemudian pengguna yang berjaya mendaftar akan diberikan akaun percuma serta akses storan dalam talian sebanyak 2GB. Web Ubuntu One juga menyediakan fungsi lain iaitu 'Notes' untuk menyimpan nota, dan 'Contacts' untuk menyimpan maklumat peribadi sendiri atau kenalan. Klien Ubuntu One boleh digunakan dalam Ubuntu 9.04 dan ke atas. Bagi yang menggunakan sistem operasi yang berlainan, mereka masih boleh memuat turun atau muat naik fail terus daripada laman web. Masih dalam peringkat percubaan (Beta), tapi ruang yang disediakan cukup untuk menyimpan salinan dokumen atau gambar yang ingin diakses daripada tempat lain.

Perisian web dalam talian yang seterusnya ialah Windows Live Skydrive. Dibina dan diuruskan oleh Microsoft dan dikemaskini oleh Windows Live, ia menyediakan ruang storan yang agak besar, iaitu 25GB. Pengguna email Hotmail, MSN atau Live boleh menggunakan aplikasi ini, dan jika tidak, daftarlah mana-mana akaun untuk cuba menggunakannya. Ia boleh menyimpa apa-apa saja format file, dan Skydrive menyediakan ruang storan yang terbesar zK ketahui setakat ini. Pengguna boleh muat turun dan naik terus daripada antaramuka web Skydrive, dan tiada klien yang diperlukan.

Aplikasi web storan dalam talian yang ketiga ingin zK perkenalkan ialah Dropbox. Ia juga menyediakan storan percuma sebanyak 2GB, dan boleh dinaik taraf kepada penggunaan berbayar dan menambah ruang storan sehingga 100GB. Dengan 2GB, pengguna boleh menyimpan fail gambar atau dokumen seperti kerja lapangan atau bekerja di luar kawasan, dan ia amat memudahkan kerana sebarang fail hanya perlu dicapai semula di mana-mana sahaja yang ada sambungan internet. Ia mempunyai klien yang boleh digunakan dalam sistem operasi Windows, Apple dan Linux. Amat berguna kepada mereka yang menggunakan lebih daripada 1 sistem operasi dan mencapai dokumen dengan lebih mudah.

Storan dalam talian amat memudahkan kerja harian terutama apabila melibatkan kerja berkumpulan, dihantar ke luar kawasan atau bekerja di lapangan. Dengan menggunakan storan dalam talian, segala fail dan dokumen dapat dicapai di mana sahaja yang mempunyai sambungan internet seterusnya tidak perlu risau komputer rosak, masalah virus, tiada ruang storan yang cukup atau hilang perkakas storan seperti 'thumbdrive'. Selain itu, ia dapat memudahkan kerja yang melibatkan secara berkumpulan, kerana mereka dapat berkongsi dokumen atau maklumat secara dalam talian, dengan lebih cepat. Jadi cuba la ;)